logo

Thursday 09th of September 2010

Home Women Programmes Pusat Komuniti Menerima Kunjungan Timbalan Perdana Menteri Zimbabwe
Pusat Komuniti Menerima Kunjungan Timbalan Perdana Menteri Zimbabwe PDF Print E-mail
Written by DHRRA   
Tuesday, 02 March 2010 13:17
Zimbabwe DelegationIbu Pejabat Projek Pusat Komuniti DHRRA-ERA, Petaling Jaya telah menerima penghormatan apabila dikunjungi oleh delegasi dari Zimbabwe, yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menterinya, Thakozani Khupe pada 22 Februari 2010 yang lalu.

Delegasi tersebut turut disertai oleh beberapa tokoh, termasuk Pengarah Eksekutif  Institut Demokratik Africa (ADI), Tashinga Mtindike dan pegawai-pegawai dari Kedutaan Zimbabwe.
ADI telah ditubuhkan pada tahun 2009 di Afrika Selatan, sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang tidak berorientasikan keuntungan dan bebas. ADI berperanan untuk meningkatkan amalan demokrasi melalui sesi perdebatan, pembinaan kapasiti pemimpin yang sedia ada, membentuk kepimpinan untuk bakal pemimpin, pengupayaan ekonomi dan pendidikan. ADI bekerjasama dengan beberapa organisasi tempatan untuk menggalakkan prinsip demokrasi dan nilai di Afrika. Seterusnya ini akan meningkatkan keupayaan rakyat tempatan untuk terlibat dalam isu-isu yang berlaku dalam negara.

Objektif lawatan ke Malaysia adalah untuk mempertingkatkan demokrasi dan nilai demokratik, di samping menggalakkan pembangunan kepimpinan demokratik di negara-negara benua Afrika.

Anggota delegasi begitu berminat membincangkan projek yang berkaitan dengan inisiatif wanita dan projek koperasi wanita kerana ini membantu mereka mengumpul maklumat yang komprehensif, di samping membuka harapan untuk menubuhkan inisiatif yang sama di Zimbabwe.

Selain daripada Malaysia, delegasi tersebut juga melawat negara-negara lain seperti India dan Singapura bagi mempelajari amalan terbaik dalam memperkasakan wanita agar mereka mampu  hidup sendiri dan berdikari.

Semasa berada di pusat komuniti, Puan Nanthini Ramalo, Setiausaha Agung, Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar, memberikan taklimat tentang Projek Pusat Komuniti, yang dimulakan pada tahun 2003 dengan bantuan geran daripada Kesatuan Eropah dan Friedrich Naumann Foundation.

Turut serta dalam perbincangan tersebut ialah wakil daripada Pusat Sumber dan Penyelidikan Asia Pasifik bagi Wanita (ARROW).

Dalam pada itu, Presiden DHRRA Malaysia, Encik Saravanan Sinapan, berkongsi pengalaman tentang inisiatif keusahawanan kaum wanita yang diusahakan oleh Pusat Komuniti.  Menurut beliau, seseorang mungkin berminat untuk mendapatkan pendapatan tambahan, tetapi kejayaan hanya diperolehi sekiranya mereka mempunyai motivasi dan minat.

Selanjutnya beliau menjelaskan, pusat komuniti akan memberikan latihan berkaitan perniagaan kepada golongan wanita, termasuk tentang penetapan matlamat dan motivasi, merancang perniagaan, pengurusan kewangan, gelagat dalam perniagaan dan perlaksanaan perniagaan.

Mereka kemudiannya akan didedahkan dengan pelbagai kemahiran seperti memasak atau menganyam,  yang seterusnya boleh diperkembangkan sebagai kemahiran sumber pendapatan. Melalui projek ini, ramai wanita boleh memulakan perniagaan dengan modal yang kecil sahaja. Beliau turut menekankan tentang keperluan kepada khidmat bantuan dan motivasi peringkat susulan bagi memberi panduan kepada golongan wanita ini untuk menghadapi cabaran yang berlaku dalam perniagaan dan keluarga.

Pusat Komuniti juga telah menjadi hos bagi jamuan makan malam kepada delegasi dari Zimbabwe. Majlis ini turut dihadiri oleh penasihat pusat komuniti, Datuk Marimuthu Nadason, Presiden ERA Consumer dan Dato’ Indrani Thuraisingham, Ketua bagi pejabat Consumer International, Kuala Lumpur.

Datuk Marimuthu dan Dato’ Indrani turut berkongsi pengalaman dan cabaran yang mereka hadapi semasa menjadi perintis projek pusat komuniti. Selain itu, mereka juga menerangkan tentang projek lain yang dijalankan seperti latihan hak asasi manusia untuk pemimpin wanita dalam parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat akar umbi.

Dalam ucapan penghargaannya, wakil delegasi Zimbabwe berkata, “Kami amat menghargai jamuan makan malam bagi meraikan delegasi Zimbabwe yang diadakan oleh ERA Consumer. Kami berharap ERA Consumer akan terus memberikan sokongan kepada pihak kami. Dan kami juga berharap ERA menjadi penghubung antara Malaysia dan Zimbabwe, khususnya berkaitan pengupayaan kaum wanita.” Wakil Zimbabwe turut menyatakan minat untuk meneruskan interaksi antara kerajaan Zimbabwe dan Pusat Komuniti DHRRA-ERA bagi meningkatkan keupayaan golongan wanita Zimbabwe yang terpinggir dengan memberikan kemahiran dan pengetahuan lanjutan kepada mereka.
Last Updated ( Tuesday, 02 March 2010 13:30 )
 

Copyright 2008, All Rights Reserved . Development of Human Resources in Rural Areas No 1, Lorong 22/44A, Seksyen 22, 46300, Petaling Jaya, Malaysia